LATAR BELAKANG
Pada tahun 1999, Jabatan Perkhidmatan Awam telah
mengeluarkan satu Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 1999 iaitu Panduan
Mewujudkan Perkhidmatan Kaunseling di Agensi Awam. Melalui pekeliling ini
setiap kementerian dan jabatan diharapkan dapat menubuhkan Unit Perkhidmatan
Kaunseling secara formal dan terancang. Sementara Pegawai Kaunseling yang
dilantik terdiri daripada pegawai-pegawai sedia ada dan mereka perlu diberi
latihan kemahiran asas kaunseling.
Bagi memenuhi keperluan ini, Bahagian Perkhidmatan Psikologi
telah menyediakan 3 tahap modul Program Peningkatan Kemahiran Kaunseling (PPKK)
untuk digunakan oleh kementerian dan jabatan. Setiap modul dilaksanakan selama
3 hari. Tujuan program ini ialah untuk memberi pendedahan dan pemahaman
berhubung fungsi dan peranan kaunseling kepada pegawai dalam Perkhidmatan Awam.
Selain itu, ia juga untuk meningkatkan pemahaman dan
kemahiran kaunseling kepada pegawai agar aplikasi psikologi dapat diterapkan
dalam pengurusan sumber manusia di kementerian/jabatan dan agensi kerajaan.
Melalui peningkatan kemahiran ini, maka pendekatan modal insan dapat
dibangunkan. Pegawai yang telah tamat ketiga-tiga tahap program tersebut layak
dilantik sebagai Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) serta boleh
berfungsi sebagai rakan pembimbing dan mentor di kementerian/jabatan
masing-masing.
AKRAB
Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam atau AKRAB merupakan nama
khusus bagi pegawai yang dilantik sebagai pembimbing rakan sekerja sepertimana
yang dikehendaki dalam Pekeliling perkhidmatan bilangan 18 tahun 2005.
AKRAB diwujudkan dengan objektif bagi menyediakan medium
perantara untuk memberi peluang pegawai berfungsi secara efektif dalam usaha
membantu Pengurus Sumber Manusia di agensi. Di samping itu, ia juga sebagai
penyumbang kepada usaha pembangunan modal insan dalam Pengurusan Sumber
Manusia.
AKRAB terdiri daripada pegawai yang telah dilatih dan
memenuhi syarat kursus bagi Program Peningkatan Kemahiran Kaunseling (PPKK)
sebanyak tiga peringkat iaitu asas, pertengahan dan lanjutan yang dianjurkan
oleh agensi masing-masing. Manakala inputnya disediakan oleh Bahagian
Perkhidmatan Psikologi (BPPs) AKRAB membawa maksud Amanah, Komitmen, Rasional,
Akhlak, Bestari merupakan ciri-ciri penting perlu ada pada seorang rakan
pembimbing.
AKRAB juga merupakan penjenamaan semula versi rakan
pembimbing, pembimbing rakan sekerja, pegawai khidmat nasihat, pegawai khidmat
kaunseling dan pelbagai nama yang merujuk kepada peranan sebagai rakan
pembimbing di agensi. Ini bermakna, di dalam perkhidmatan awam, mereka yang
memainkan peranan sebagai rakan pembimbing keseluruhannya akan dikenali sebagai
AKRAB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan